/*banner of the blog inserted here*/
Sorrento

Tuesday, September 19, 2006

Kasih

Tanpa ragu-ragu, saya berjalan terhadap tren yang menunggu di stesyen tersebut. Sekarang sudah lewat malam; tiada orang menaiki tren melainkan saya dan seorang warga tua.

Pemikiran saya sudah lama berserabut memikirkan makna perasaan ini. Kenapa saya rasa tertagih terhadap pegangannya? Kenapa tanpa ciuman dan kasih sayang, saya terasa aneh dan keseorangan?

Bunyi loceng di persimpangan tren. Di luar, kelihatan samar-samar cahaya menyinari bumbung rumah dan jalan raya, menembus kegelapan malam yang menyelubungi bangunan-bangunan sejauh mata memandang. Meniti permandangan di luar, saya teringatkan tanah air yang terasa begitu jauh dari sini, seolah-olah saya berada di dunia yang berlainan.

Teringatkan makanan yang saya gemari, teringatkan sahabat yang saya rindui.

Semalam dia bagaikan tidak memahami kehendak saya, bagaikan tidak mahu mendengar keperluan saya. Bagi dia, tinggal di rumah berlainan lebih penting daripada tinggal bersama. Sukar katanya. Walaupun saya memahami pandangannya, namun setelah berada dalam hubungan jarak jauh sebelum ini, saya tidak mampu menerima hakikat bahawa kita akan senantiasa diasingkan, senantiasa dijarakkan.

Saya mudah terasa keseorangan jikalau dijarakkan daripadanya. Namun kalau itulah kehendaknya, siapa saya untuk menghalangnya? Setahu saya menjelang bulan sebelas, saya terpaksa pindah rumah. Tempoh sewa sudah tamat; mereka yang lain yang tinggal di rumah itu juga hendak mencari tempat sendiri. Yakni enam orang di bawah satu bumbung sukar dikawal, sukar hidup bersama.

Kalau mengikut kehendak saya, saya lebih rela berpindah masuk tinggal dengannya. Dua hari yang lalu dia memberi maklum kepada saya bahawa saya menganggunya tidur pada waktu malam. Tanpa disedari, semasa tidur atas katil yang sama, saya akan cuba merapati badan saya dengannya, memberi peluk dan kasih. Dalam matanya tabiat ini tidak boleh diterima kerana tidurnya diganggu. Dia memarahi saya kerana menghendakkan peluk; katanya ruang peribadi amat penting baginya semasa tidur. Adakah wujudnya insan yang tiada menghendakkan kasih pada waktu malam?

Aneh.

Persoalannya sekarang adalah: perlukah kita beli tilam supaya saya dapat tidur di atas lantai pada waktu malam semasa berkunjung semalaman? Adakah saya patut tidur di atas lantai untuk mengelakkan diri daripada "mengacau" tidur si-raja ini yang menghendakkan "ruang peribadi" semasa tidur?

Sejak hari itu saya terasa bagi dia, perhubungan ini setakat rakan sebaya.

Apakah itu kasih? Adakan kasih menghendakkan tolak ansur sesama dua individu, ataupun salah satu menetapkan "peraturan" mengikut kehendaknya, salah satu mengubahkan diri untuk memenuhi "peraturan" tersebut? Kenapakah saya terpaksa mengubahkan diri saya agar lebih sesuai baginya?

Tren sudah mula bertolak. Ai, ketinggalan stesyen pula.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home